Pesakit kanser jaga abang, anak saudara OKU
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain

GOMBAK – Seorang wanita cekal menjaga abangnya warga emas dan anak saudaranya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) biarpun dirinya bergelut dengan masalah kesihatan selepas disahkan menghidap penyakit kanser payudara tahap dua
Rosmah Samsudin, 61, berkata, dia dan abangnya, Baharuddin Samsudin, 74, yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis perlu berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan secara berkala, namun tidak dapat berbuat demikian kerana sumber kewangan terhad.
“Setiap kali ke hospital kami menaiki teksi kerana tiada pengangkutan sendiri. Tetapi tambang teksi terlalu tinggi sudah hampir tujuh tahun tidak buat pemeriksaan kesihatan.
“Kami memerlukan lebih RM120 sebulan untuk tambang teksi. Jadi saya hanya bertahan dengan ubat yang dibekalkan secara percuma oleh hospital, tetapi tetap perlu mengeluarkan kos besar untuk pemeriksaan kesihatan lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Rosmah memberitahu, setiap kali membuat pemeriksaan mamogram dan lain-lain di hospital, ia menelan kos hampir RM500, manakala kos makanan tambahan pula adalah sebanyak RM200 sebulan.
Wanita itu juga menanggung kos pembedahan membuang katarak mata abangnya sebanyak RM1,600.
“Anak saudara saya (Maslina Abdul Manan) mengalami gangguan mental sejak kematian ibunya pada 2003. Jadi saya yang mengambil alih tanggungjawab menjaganya,” katanya.
Kali terakhir Rosmah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tiga tahun lalu kerana tidak mempunyai kemudahan mengakses dan mengemas kini maklumat secara dalam talian.
Rosmah turut mengharapkan bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana kediaman sekarang kerap dinaiki air selain risiko diusir kerana dibina atas tanah milik orang lain.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Bank bernombor 7009932875 atau menghubungi Rosmah di talian 011-33091752.
The post Pesakit kanser jaga abang, anak saudara OKU appeared first on Kosmo Digital.
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan