Piala Malaysia: Gergasi Merah selangkah ke pentas final
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain

PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC meletakkan sebelah kaki ke pentas final selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium MB Petaling Jaya sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad Gergasi Merah yang masih belum tewas sejak dibimbing Tan Cheng Hoe pada September lepas membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diketuai Herlison Caion.
Namun, pasukan tuan rumah terlebih dahulu tersentak dengan jaringan yang dilakukan oleh TFC pada minit ke-18 hasil sepakan percuma yang bijak disudahkan oleh Kipre Tchetche.
Tergamam dengan gol tersebut, Selangor memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol penyamaan hasil tandukan Richmond Ankrah pada minit ke-37 hasil daripada sepakan penjuru yang diambil Mukhairi Ajmal.
Caion turut mencetak nama selaku penjaring berselang lima minit kemudian selepas menanduk masuk gol hasil sepakan penjuru yang turut diambil Mukhairi untuk meletakkan kedudukan 2-1 ketika tamat babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Mukhairi terus cemerlang apabila sepakan penjuru ketiga yang diambilnya turut berjaya ditanduk oleh Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-54.
TFC hampir merapatkan kedudukan pada penghujung perlawanan, tetapi percubaan satu lawan satu yang dimiliki Kpah Sherman hanya menggegar palang gol ketika penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid sudah pun tertewas.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan dengan aksi kedua dijadualkan berlangsung di Terengganu pada 21 November depan.
Skuad Merah Kuning kini memburu trofi Piala Malaysia buat kali ke-34 selepas kali terakhir menang pada edisi 2015. – KOSMO! ONLINE
The post Piala Malaysia: Gergasi Merah selangkah ke pentas final appeared first on Kosmo Digital.
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan