Ikan Pari Masak Kuah Lada Melaka, Ramai Komen Lebih Sedap Dari Asam Pedas!
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Apabila bercuti ke negeri Melaka, ramai yang takkan lepaskan peluang untuk makan asam pedas di sana. Selain asam pedas, ada satu lagi lauk istimewa yang tak kurang sedapnya iaitu Kuah Lada Ikan Pari.
Kuah Lada mempunyai tesktur kuah yang lebih pekat, rasanya masam pedas dan aromanya buat orang tak sabar nak cedok nasi. Boleh dikatakan, lauk ini setanding dengan asam pedas.
Jika lihat sepintas lalu, kuah lada nampak seperti asam pedas tapi sebenarnya berbeza dari segi ramuan. Ikut resipi Kuah Lada Ikan Pari oleh Syalfarina Razali di Facebook, pasti terangkat selera.
Baca juga: Cara Paling Mudah & Cepat Hilangkan Bau Hancing Ikan Pari, Serius Menjadi!
RESIPI KUAH LADA IKAN PARI
Bahan-bahan:
- 2 biji bawang merah (saiz sederhana)
- 6 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- ¼ keping belacan (lebih baik guna belacan segar)
- 5 helai daun limau (buang batang urat jika rajin)
- 1 sudu kecil halba
- 1 sudu serbuk kunyit
- 2 senduk cili kisar
- 1 sudu kecil lada hitam
- 1 sudu besar serbuk jintan putih
- 1½ sudu besar serbuk jintan manis
- Ikan pari (atau ikan pilihan lain)
- Segenggam asam jawa (guna yang ada biji, ramas dengan air)
- 1 sudu besar kerisik (atau kelapa bakar kalau ada)
- Bendi secukupnya (pilihan)
- Garam, gula dan perasa secukupnya
- Minyak masak dan air secukupnya
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, tumbuk bawang merah, bawang putih, halia dan belacan sampai lumat.
2. Selepas itu, panaskan minyak dalam kuali dan masukkan daun limau.
3. Masukkan halba dan bahan tumbuk, kemudian tumis sampai naik bau.
4. Masukkan cili kisar, serbuk kunyit dan lada hitam, kemudian gaul rata.
5. Selepas itu, tumis sampai pecah minyak. Jika tumisan kering, tambah sedikit minyak dan air.
6. Kemudian, masukkan serbuk jintan putih dan jintan manis.
7. Setelah itu, masukkan ikan pari dan gaulkan sebati dengan tumisan. Tambahkan bendi jika suka.
8. Masukkan air asam jawa (ulang ramas 2 hingga 3 kali untuk dapatkan rasa masam pekat). Biar kuah mendidih sampai mesra dengan ikan.
9. Kemudian, masukkan kerisik dan kacau sebati. Perasakan dengan garam, gula dan sedikit perasa jika suka.
10. Apabila kuah sudah cukup rasa dan mendidih, tutup api. Siap untuk dihidang!
Selamat mencuba!
Sumber: Syalfarina Razali
Baca juga: Resepi Ikan Pari Masak Asam Pedas Johor, Kuah Pekat Elok Baru Kaw!
The post Ikan Pari Masak Kuah Lada Melaka, Ramai Komen Lebih Sedap Dari Asam Pedas! appeared first on MyResipi.
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan