Cara Masak Sup Suhun Telur Sedap Dan Sihat, Tetap Kenyang Walau Tanpa Nasi!

Nak makan hidangan berkuah ringkas, kami cadangkan anda buat Sup Suhun Telur yang ringan tapi sangat memuaskan. Sekali hirup kuahnya, memang tak toleh kiri dan kanan.
Sup Suhun Telur mudah dimasak dan boleh disesuaikan mengikut sayur dan bahan yang ada di rumah. Senang cerita, anda boleh nikmati hidangan lazat ini pada bila-bila masa.
Nak masak hidangan sihat tanpa rumit, ikut saja resipi Sup Suhun Telur yang dikongsikan oleh Nor Farah Atika ini. Bukan setakat sedap, malah penuh berkhasiat. Jom kita cuba!
Baca juga: Petua Suhun Tak Kembang Bila Masak, Kuah Jadi Cantik & Tak Cepat Kering!
RESIPI SUP SUHUN TELUR

Bahan-bahan:
- Suhun
- 3 biji telur
- Sayur-sayuran: lobak merah, sawi, tomato, cili api (boleh gantikan atau tambah ikut kesukaan)
- Tofu telur (pilihan)
- Bawang merah dan bawang putih
- Lada hitam
- Garam atau perasa pilihan
- Air secukupnya
- Tauhu kering dan daun sup atau bawang goreng (pilihan)
Cara-cara memasak:
1. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi. Masukkan sedikit lada hitam sewaktu menumis untuk aroma yang lebih sedap.
2. Tambahkan air secukupnya. Masukkan lobak merah atau kentang dan biarkan sayur empuk serta air mendidih.
3. Setelah lobak merah empuk, masukkan sawi, tomato, cili api dan tofu telur. Resipi ini fleksibel, jadi boleh gunakan sayur kegemaran yang ada dalam peti sejuk.
4. Tambahkan garam mengikut citarasa. Boleh juga masukkan serbuk perasa atau kiub perasa jika suka.
5. Kecilkan api dan tuang telur perlahan-lahan. Jangan kacau terus, biarkan selama 2 minit supaya telur terbentuk cantik dan tak pecah.
6. Masukkan suhun (tak perlu direndam terlebih dahulu) dan tauhu kering jika ada.
7. Taburkan daun sup atau bawang goreng sebagai hiasan.
Sup Suhun Telur sesuai dijadikan sebagai hidangan utama atau sampingan yang hangat. Selain itu, ia juga merupakan cara terbaik untuk habiskan stok sayur yang ada di rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Farah Atika
Baca juga: Resepi Sup Telur Simple Dari Seorang Ayah, Air Tangan Yang Tiada Tandingnya
The post Cara Masak Sup Suhun Telur Sedap Dan Sihat, Tetap Kenyang Walau Tanpa Nasi! appeared first on MyResipi.
Ulasan
Catat Ulasan