Ikan Kembung Rebus Air Asam, Siraman Kuahnya Rasa Macam Makan Di Kampung
Cerita pasal lauk kampung, ramai takkan tolak untuk makan Ikan Kembung Rebus Air Asam. Kuahnya masam-masam pedas, terangkat apabila digandingkan dengan nasi panas.
Jika tiada idea untuk masak tapi teringin makan lauk kampung, kami cadangkan anda cuba Ikan Kembung Rebus Air Asam ini. Sekali hirup kuah, memang tak sedar nasi bertambah.
Resipi yang dikongsikan oleh Nurul Hawa Nadila Sari di Facebook ini memang menarik perhatian ramai. Picit saja air asam, hidangan terus jadi menyelerakan. Jom kita cuba!
Baca juga: Petua Masak Gulai Ikan Supaya Isi Kekal Elok, Tak Hancur Walaupun Kuah Lama Mendidih!
RESIPI IKAN KEMBUNG REBUS AIR ASAM
Bahan-bahan:
- 5 ekor ikan kembung
- 2 ulas bawang merah besar (diricih)
- 6 biji cili padi (diricih)
- 1 biji cili merah besar (dipotong)
- 2 cm belacan (dibakar & ditenyeh)
- 1 biji tomato (dipotong dadu)
- 3 sudu besar pes asam jawa
- 2 biji limau kasturi
- 1 sudu besar kerisik
- Garam dan gula secukup rasa
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, rebus ikan bersama asam keping, sedikit garam dan air.
2. Biarkan ikan masak, kemudian angkat dan ketepikan. Buang asam keping tadi.
3. Kemudian, bancuh air rebusan dengan bahan ricih dan tambah air jika mahu kuah lebih.
4. Selepas itu, masukkan tomato, cili merah, cili padi dan bawang besar.
5. Seterusnya, masukkan pes asam jawa dan perahkan limau kasturi.
6. Tambah belacan bakar, kerisik, garam dan gula, kemudian gaul rata.
7. Setelah itu, sesuaikan rasa dan kepekatan kuah mengikut selera.
8. Akhir sekali, siram kuah air asam atas ikan rebus tadi. Siap untuk dihidang!
Ikan Kembung Rebus Air Asam ini sangat mudah dimasak sebagai hidangan untuk keluarga di rumah. Lauk kampung ringkas seperti ini memang tak pernah mengecewakan.
Selamat mencuba!
Sumber: Nurul Hawa Nadila Sari
Baca juga: Ikan Air Asam Paling Mudah, Cara Masak Ini Buat Orang Kecur Air Liur
The post Ikan Kembung Rebus Air Asam, Siraman Kuahnya Rasa Macam Makan Di Kampung appeared first on MyResipi.
Ulasan
Catat Ulasan