Resepi Laksa Siam Versi Kuah Pekat, Rasa Segar Berlemak Yang Luar Biasa!
Buat anda yang sukakan laksa, resepi Laksa Siam ini memang patut cuba di rumah. Kuahnya bukan saja pekat, malah cukup rasa dan sedap dimakan dengan pelbagai ulam segar.
Nak buat kuah jadi cantik dan melekat elok pada laksa, boleh amalkan sukatan yang dikongsikan oleh Ben Safwan di Facebook ini:
- 1kg ikan = 3 liter cecair (air + santan)
Selain itu, beliau kongsikan resepi Laksa Siam yang kelihatan sungguh menyelerakan. Senang cerita, satu suapan saja cukup membuatkan anda sekeluarga berselera makan di rumah.
Baca juga: Cara Buat Laksa Sarawak Pekat, Wangi & Berlemak, Confirm Hirup Sampai Licin!
RESEPI LAKSA SIAM
Bahan-bahan:
- Laksa beras (jenama Nayati)
- 1kg ikan kembung
Bahan kisar untuk kuah (kisar halus dengan air):
- 3 ½ biji bawang merah (besar sedikit dari bola pingpong)
- 4 ulas bawang putih kecil
- 3 batang akar ketumbar
- 3 batang serai kecil
- 2 inci belacan bakar
- 2 ketul kunyit hidup (anggaran 15 gram)
- 5 biji cili hijau besar
- 3 biji cili merah besar
- 4 hingga 5 biji cili Thai
Bahan untuk kuah:
- 1 liter santan pekat
- Bahan kisar
- Isi ikan (kisar kasar)
- 2 liter air
- 2 helai daun limau purut
- 4 hingga 5 tangkai daun kesum
- 2 hirisan lengkuas (diketuk)
- 2 batang bunga kantan kecil (belah dua)
- ¾ keping gula Melaka (boleh ganti gula putih)
- 2 keping asam keping
- 3 sudu besar cili kisar
Cara-cara rebus ikan:
1. Siang dan kelar ikan kembung, kemudian rebus dengan 1 inci lengkuas (diketuk), 1 sudu besar cuka makan, 1 sudu besar gula merah, ½ sudu besar garam tanpa air.
2. Biarkan ikan mengeluarkan air sendiri semasa rebusan dengan api kecil dan tutup periuk.
Jangan biarkan terlalu lama, takut hangus nanti.
3. Kemudian asingkan isi dan tulang. Buang tulang, hanya isi akan digunakan untuk kuah.
Cara-cara memasak kuah:
1. Campurkan semua bahan ke dalam periuk bersama air dan santan.
2. Didihkan dengan api sederhana sambil dikacau sesekali.
3. Apabila mendidih, kecilkan api.
4. Masukkan 5 hingga 6 sudu teh garam (atau secukup rasa) dan ½ sudu besar serbuk perasa (pilihan).
5. Reneh selama 20 hingga 30 minit untuk perisa yang sebati dan kuah jadi lebih sedap.
6. Setelah cukup reneh, tutup api dan segera keluarkan daun limau, daun kesum, bunga kantan, asam keping dan lengkuas.
Selamat mencuba!
Sumber: Ben Safwan
Baca juga: Resepi Laksam Kelantan Original, Ini Rahsia Kuah Cantik & Berlemak Cukup Rasa
The post Resepi Laksa Siam Versi Kuah Pekat, Rasa Segar Berlemak Yang Luar Biasa! appeared first on MyResipi.
Ulasan
Catat Ulasan