Peniaga Ini Bongkar Resipi Kuah Bolognese Hasil Jualannya, Kuah Merah Cantik & Pekat Elok

Siapa sangka rahsia nak buat pasta yang sedap sebenarnya terletak pada kuah bolognese yang kita masak sendiri dengan teknik yang betul. Kalau kena gaya masaknya, memang padat dengan isi dan rasa pun seimbang, sampai anak-anak pun mesti minta tambah berkali-kali!
Hari ini, MyResipi ingin berkongsi resipi eksklusif daripada seorang peniaga yang digunakan di restorannya untuk jualan harian dan tempahan katering. Resipi ini sangat istimewa kerana menggunakan bahan segar seperti daging yang dicincang sendiri serta tomato panggang untuk aroma yang lebih memikat.
Kah ini juga sangat sesuai dijadikan stok sejuk beku di rumah dalam bekas kecil. Masak sekali banyak, simpan dalam bekas kecil-kecil. Nanti bila nak makan cuma perlu defrost dan panaskan saja. Senang, cepat dan kualiti tetap macam baru masak!
Baca juga: Resipi Spageti Goreng Daging Ala Tekak Melayu, Ringkas Tapi Buat Bertambah Pinggan!
RESEPI KUAH BOLOGNESE HOMEMADE

Bahan Utama:
- 3 kg daging pejal (hiris nipis, basuh bersih dan cincang guna food processor)
- 4 kg tomato ranum (di-grill terlebih dahulu)
- 4 tin besar tomato puree
- 24 botol sos bolognese (330g)
- 2 kg bawang holland (dadu guna food processor)
- 200g bawang putih
- 3 kg lobak merah (dadu guna food processor)
- 200g cendawan kering (rendam, bilas, perah air berkali-kali & dadu guna food processor)
- 1.5 kg minyak masak
- 800 ml susu penuh krim (full cream)
- 6 sudu besar (sb) mix herbs
- 25 helai daun bay (bay leaves)
- 8 sb Maggi Cukup Rasa
- 8 sb stok ayam
- 4-5 sb garam (ikut rasa)
- 6-8 sb serbuk lada hitam
- Gula secukupnya (untuk mengimbangi rasa)
Cara-cara penyediaan:
- Mula-mula, sediakan bahan mentah dengan menggunakan food processor untuk mencincang mengikut turutan bermula dengan bawang holland, bawang putih, lobak merah, cendawan dan akhir sekali daging. Teknik mencincang sendiri daging ini akan buatkan tekstur kuah lebih premium.
- Seterusnya, sediakan aroma rahsia iaitu tomato grill. Panggang tomato ranum di atas kuali sehingga lembut dan kulitnya sedikit hangus, kemudian tarik keluar kulitnya. Isi tomato dikisar kasar guna food processor, manakala kulit yang hangus tadi dikisar halus menggunakan pengisar biasa untuk memberikan warna dan aroma “smoky”.
- Langkah seterusnya, panaskan minyak dan tumis bawang holland serta bawang putih sehingga layu. Masukkan mix herbs dan daun bay, kemudian kacau rata sebelum masukkan daging cincang. Pastikan anda masak sehingga air daging betul-betul kering supaya kuah tidak berbau hamis.
- Selepas itu, masukkan cendawan dan lobak merah. Kacau seketika dan masukkan kisaran tomato grill tadi bersama tomato puree dan sos Bolognese botol. Jangan lupa bilas setiap botol sos dengan sedikit air dan masukkan air bilasan tersebut ke dalam periuk supaya tidak membazir.
- Akhir sekali, masukkan bahan perasa seperti garam, stok ayam dan lada hitam. Gunakan api sederhana perlahan untuk mereneh kuah supaya ia menjadi merah cantik dan pekat elok. Selepas 30 minit mereneh, tuangkan susu penuh krim dan teruskan memasak selama sekurang-kurangnya 1.5 jam. Selepas adjust rasa mengikut selera, kuah pun siap untuk dihidang atau disejukkan sebelum disimpan.
Tip tambahan:
- Jika anda ingin masak untuk hidangan keluarga dalam kuantiti kecil, anda boleh kecilkan sukatan di atas. Contohnya, jika menggunakan 1kg daging, bahagikan semua bahan lain kepada tiga. Pastikan anda menggunakan daging segar yang dicincang sendiri untuk rasa yang lebih “premium” dan juicy.
Sumber: Masmira Idris
Baca juga: Resipi Spageti Aglio Olio Cheese, Cara Paling Mudah Tapi Sedap Sangat!
The post Peniaga Ini Bongkar Resipi Kuah Bolognese Hasil Jualannya, Kuah Merah Cantik & Pekat Elok appeared first on MyResipi.
Ulasan
Catat Ulasan